DEFINISI KELUARGA BAHAGIA

on Friday, July 23, 2010

Salam!

Setiap insan yang hidup di atas muka bumi ini pasti mengimpikan untuk memiliki sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni, tetapi apa yang sedihnya tidak semua orang memiliki sebuah keluarga yang bahagia. Di manakah silapnya dan siapakah yang harus di persalahkan jika kita hidup di dalam sebuah keluarga yang saling berantakan dan benci membenci antara satu sama lain.

Setiap individu itu sendiri perlu memahami apa yang dimaksudkan dengan "KELUARGA" dan "BAHAGIA" sebelum menyimpan impian untuk memiliki kedua-duanya. Ada indivdu yang terlalu obses untuk memiliki sebuah keluarga bahagia tetapi malangnya individu itu sendiri tida tahu apa itu keluarga dan apa itu bahagia.
 

DEFINISI KELUARGA

Keluarga berasal dari bahasa Sansekerta: kula dan warga "kulawarga" yang berarti "anggota" "kelompok kerabat". Keluarga adalah lingkungan di mana beberapa orang yang masih memiliki hubungan darah, bersatu.

Keluarga adalah dua atau lebih dari dua individu yang tergabung karena hubungan darah, hubungan perkawinan atau pengangkatan dan mereka hidupnya dalam suatu rumah tangga, berinteraksi satu sama lain dan didalam perannya masing-masing dan menciptakan serta mempertahankan suatu kebudayaan.(Menurut Salvicion dan Ara Celis).

Dari pengertian di atas dapat diambil kesimpulan bahwa keluarga adalah : - Unit terkecil dari masyarakat - Terdiri atas 2 orang atau lebih - Adanya ikatan perkawinan atau pertalian darah - Hidup dalam satu rumah tangga - Di bawah asuhan seseorang ketua rumah tangga - Berinteraksi diantara sesama anggota keluarga - Setiap anggota keluarga mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing - Diciptakan, mempertahankan suatu kebudayaan.




APA ITU BAHAGIA?

Istilah "bahagia" itu adalah suatu perkara yang unik dan terlalu seni untuk didefinisikan secara tepat, apatah lagi jika ia ditakrifkan oleh bermacam orang yang sudah tentu bermacam-macam pula ragamnya. Hanya dengan menggunakan kaca mata Islam yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah sahaja definisi bahagia itu dapat dirungkaikan dalam bentuk amalan, sekalipun ianya tidak berjaya diungkaikan oleh lidah yang tidak bertulang berupa sesuatu lafaz atau ucapan kata-kata. Bahkan kalau dikira, definisi yang dirungkaikan dalam bentuk praktik itulah yang lebih tepat dari definisi yang berjaya diungkaikan dan diungkapkan melalui kata-kata atau ucapan.

Sebagai contoh: Orang miskin akan mentakrifkan kebahagiaan itu berdasarkan kekurungan yang ada pada dirinya yang ia terlalu ingin untuk milikinya dari segi harta benda dan kemewahan,sedangkan orang kaya yang sudahpun bermewah-mewah dalam kehidupan, kadang-kadang melihat bahawa kehidupan simiskin lebih bahagia berbanding dirinya.

Jadi, apakah yang mereka ingin nyatakan tentang takrif kebahagiaan itu sebenarnya? Ini bermakna rasa bersyukur dengan kemewahan dan reda dengan kemiskinan sahaja, masih belum cukup untuk mentafsirkan makna kebahagiaan. Pendek kata kebahagiaan itu bukanlah apa yang dinilai oleh nafsu yang suka kepada kehidupan serba mewah, bukan juga oleh jasmani kita yang kadang-kala tertipu oleh kebuasan nafsu lalu hidup merana dan menderita, bahkan bukan juga terletak kepada kepintaran akal yang memikirkan akan betapa patutnya menggapai cabang-cabang kebahagiaan yang dianggapnya sebagai tempat yang paling patut untuk berpaut. Sekaligus bukan pula takrif yang didendangkan oleh hati yang kadang-kadang berlaku seperti pepatah Melayu : "Ikut hati mati, ikut rasa binasa".
 


AL-QURAN DAN KELUARGA BAHAGIA

Al-Quran menjelaskan bahawa Nabi kita SAW adalah contoh teladan yang baik untuk dijadikan contoh kepada ciri-ciri keluarga bahagia. Firman Allah SWT :

Maksudnya:

"Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang-orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)". (Surah Al-Ahzaab : Ayat 74).

Ayat tersebut menjelaskan bahawa mereka yang mengharapkan keredaan Allah dan balasan yang baik di akhirat nanti disamping mereka tergolong dari kalangan mereka yang banyak mengingati Allah, maka bagi mereka contoh ikutan yang terbaik dari segala yang terbaik ialah diri Rasulullah SAW.

Ini jelas membawa makna bahawa sekiranya kita ingin menjalani hidup dan kehidupan di dunia ini dengan penuh rasa kebahagian dan menikmati penghidupan di akhirat dengan kebahagian, maka kita hendaklah mencontohi diri Baginda SAW dalam apa jua bidang, tanpa berpilih-pilih dan cuba mencontohi yang mana kita rasa bersesuaian dengan diri kita sahaja.

Demikian juga dari sudut kehidupan berkeluarga. Umat Muhammad SAW hendaklah mempelajari, mengkaji seterusnya mengamalkan bagaimana Baginda menjalani hidup dan kehidupan di dunia ini sebagai jambatan untuk menempuh penghidupan yang kekal abadi di akhirat nanti. Maksudnya kebahagiaan di dunia ini berhubung kait dengan kebahagiaan di akhirat nanti. Ini sekaligus menyanggah pendapat mereka yang hanya mementingkan kebahagiaan hidup di dunia semata-mata tanpa mengambil kira kebahagiaan hidup di akhirat. Demikian pula halnya pendapat yang hanya mengutamakan kebahagaiaan hidup di akhirat semata-mata lalu memandang sepi kebahagiaan hidup di dunia ini.

Tiada yang terlebih bahagia kecuali kebahagiaan hidup berkeluarga yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Cuma apa yang mungkin menyebabkan penilaian manusia itu berbeza-beza tentang konsep bahagia itu, ada hubung kait dengan tahap keislaman, keimanan dan ketakwaan masing-masing. Maknanya untuk menerima baik hakikat kehidupan Rasulullah SAW itulah yang terbaik dari yang terbaik, berkait rapat dengan ‘maqam’ atau martabat masing-masing dari sudut keislaman, keimanan dan ketakwaan.

Apabila seseorang itu mempunyai tahap, maqam atau martabat keislaman, keimanan dan ketaqwaan yang rendah, ia sudah tentu tidak dapat menerima konsep kebahagiaan yang dijalani oleh Nabi SAW yang memperjuangkan hidup dalam taraf kemiskinan dari segi material. Tetapi mereka yang mempunyai tingkat keimanan dan ketakwaan yang tinggi, tidak akan menjadikan material sebagai kayu pengukur kepada makna kebahagiaan itu.

Semakin tinggi tahap keimanan dan ketaqwaan seseorang itu maka semakin jelas baginya bahawa kebahagiaan yang hakiki itu adalah sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan juga Khulafaur Rasyidin, yang rata-rata melihat kebahagiaan itu berpaksikan keimanan dan ketakwaan yang tinggi, atau dengan kata lain menilai kebahagiaan itu dengan rohani, jasmani dan akal yang sihat tanpa ada mengidap apa-apa penyakit.

Hanya mereka yang benar-benar sihat keseluruhan tiga aspek tadi sahaja yang merasa kebahagiaan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW itu sebagai kebahagian yang hakiki. Al-Quran pula mahu semua manusia amnya dan umat Islam khasnya memilih kehidupan berumah tangga yang bahagia seperti yang ditunjukkan oleh Nabi SAW.

Ini jelas apabila Ummul-Mukminin Saiyiditina ‘Aisyah R.A ditanya mengenai akhlak Rasulullah SAW, beliau segera menjawab bahawa: "Akhlak Rasulullah SAW itu ialah (seperti tuntutan) Al-Quran".

Firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 74, hadis yang baru disebutkan (di atas) dan banyak lagi ayat serta hadis yang mengupas mengenai akhlak dan peribadi mulia Rasulullah SAW jelas menunjukkan bahawa Al-Quran adalah sebagai penjana keluarga bahagia, manakala Rasulullah SAW pula disahkan sebagai contoh yang mesti dikuti oleh seluruh manusia amnya dan umat Islam khasnya, jika benar-benar inginkan sebuah keluarga bahagia dalam erti-kata kebahagian yang hakiki.

KESIMPULAN

Keluarga yang terdiri dari sepasang suami isteri dan dihiasi oleh sepak terajang anak-anak adalah satu institusi yang perlu kepada pentadbiran yang betul yang boleh menjamin kehidupan yang rukun, aman dan damai. Manakala suasana "Keluarga Bahagia" yang menjadi idaman semua manusia adalah matlamat yang ingin dicapai dengan apacara sekalipun. Cuma apa yang cuba dicari kadang-kadang begitu kabur apabila penilaian terhadap erti kebahagiaan itu sendiri menghadapi masalah akibat dari permasalahan yang dihadapi oleh manusia dari sudut ketiga-tiga elemen penting yang kita huraikan sebentar tadi.

Namun apa yang dapat kita titipkan melalui catatan yang serba ringkas ini dalam mendambakan kehidupan yang bahagia dalam institusi keluarga ialah; kesediaan kita untuk menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh teladan yang baik dalam segala agenda hidup kita, tanpa mempertikaikannya sedikitpun. Bilamana kita merasa kehidupan contoh (mithali) yang di tunjukkan oleh Baginda tidak dapat kita terima, atau gagal kita ikuti, itu bukan bermakna kita perlu mencari alternatif lain dalam mencari kebahagiaan hidup.

Tapi apa yang perlu kita lakukan ialah mencuba sedaya upaya untuk mengamalkan segala apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW, segala apa yang disuruh buatlah dengan kemampuan yang maksima, demikian pula apa yang dilarang hendaklah kita jauhi, hindari dan tinggalkan sama sekali dengan penuh rasa kesedaran dan keinsafan demi memperolehi keredaan Allah SWT.

Mempertingkatkan kualiti keislaman, keimann dan ketakwaan kita adalah diiktiraf sah sebagai anak kunci sebuah kebahagiaan yang hakiki. Oleh itu terpulanglah kepada kita sejauhmana ikhlasnya niat kita dan juga usaha upaya kita untuk memiliki sebuah keluarga yang bahagia mengikut kaca-mata Al-Quran yang merupakan "Kalamullah" dan berpandukan contoh teladan yang ditunjukkan oleh Nabi besar kita Muhammad SAW yang diiktiraf oleh Allah SWT yang Maha Pencipta, Maha Mengetahui lagi Maha Pengasih dan Penyayang serta Maha Adil ke atas sekelian makhluk ciptaanNya.

Wallahu a’alaamu bis-sowaab...


~PUAN SERI BAHAGIA~

No comments:

Post a Comment

Post a Comment

Labels